KUCHING, 30 April: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) wajar diiktiraf sebagai jabatan teknikal oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan agensi itu mengurus projek bekalan air bernilai kurang RM50 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengiktirafan itu penting untuk mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan air yang telah diluluskan tetapi tertangguh akibat kekangan pelaksanaan di peringkat Persekutuan.
“Baru-baru ini kita juga memohon agar mana-mana projek di bawah RM50 juta dapat dilaksanakan oleh pihak JBALB.
“Tapi syarat pertama ialah JBALB perlu diiktiraf sebagai jabatan teknikal oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan tapak projek bekalan air di Puncak Borneo, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak yakin JBALB mempunyai keupayaan teknikal untuk melaksanakan projek-projek berkenaan.
“JBALB, misalnya, mempunyai pasukan teknikal yang baik. Malah JBALB dan agensi-agensi air negeri sedang melaksanakan dan menyiapkan banyak projek besar di seluruh Sarawak.
“Yang paling ketara ialah projek bekalan air di bawah Projek Rakyat berjumlah RM4 bilion yang hampir siap sepenuhnya,” katanya.