Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Gerawat Gala berkata Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Negeri akan diadakan buat julung kalinya pada 18 Mei 2025. Foto fail TVS

Sarawak anjur Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Negeri julung kali

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 30 April: Sarawak bakal mencipta sejarah pada tahun ini dengan menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Negeri buat julung kalinya pada 18 Mei 2025.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata perhimpunan tersebut akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Acara ini bertujuan meraikan serta mengiktiraf sumbangan besar para pekerja merentas semua sektor, selain memperkukuh komitmen negeri terhadap amalan buruh yang adil dan kebajikan tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

Beliau menyeru, sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, agar semua pihak melangkah ke hadapan dengan semangat perpaduan dan tujuan yang jelas.

Malah beliau mengajak semua pihak menjunjung tinggi martabat serta nilai pekerjaan sambil berusaha ke arah Sarawak yang lebih baik dan progresif yakni tiada pekerja yang dipinggirkan.

Menurutnya lagi, Hari Pekerja mengingatkan semua pihak bahawa melindungi golongan pekerja adalah tanggungjawab bersama. Undang-undang menetapkan piawaian, namun kemajuan sebenar bergantung kepada rasa hormat bersama, dialog terbuka dan kerjasama erat.

“Saya menyeru para majikan agar bukan sahaja mematuhi undang-undang, tetapi juga menghayati semangatnya dengan melabur dalam kebajikan pekerja, latihan kemahiran dan persekitaran kerja yang selamat.

“Kepada para pekerja, suara anda penting. Kerajaan akan terus mengkaji dan menambah baik undang-undang buruh agar selari dengan realiti tenaga kerja masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Gerawat berkata Hari Pekerja tahun ini amat bermakna kerana Sarawak meraikan satu langkah besar dalam melindungi dan memperkasa para pekerja di negeri ini melalui pindaan terkini ke atas Ordinan Buruh Sarawak (SLO).

“Pindaan ini menyelaraskan undang-undang buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 (yang dipinda) di Semenanjung Malaysia serta piawaian antarabangsa, mencerminkan komitmen teguh kerajaan untuk melindungi pekerja, memastikan keadilan sosial dan mengamalkan amalan pekerjaan yang adil,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan