Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Julaihi Narawi ketika melakukan lawatan kerja ke tapak bagi projek pembinaan loji bekalan air kepada kontraktor di Puncak Borneo, hari ini. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Projek naik taraf bekalan air RM12.6 juta di Puncak Borneo dijadual siap Disember 2025

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 30 April: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi kini melaksanakan projek pembinaan sistem bekalan air bernilai RM12.6 juta bagi menambah baik infrastruktur bekalan air di kawasan Puncak Borneo dan sekitarnya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang kini berada di peringkat awal pembinaan itu merupakan penyelesaian interim untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih dan mencukupi dalam masa terdekat, sementara menunggu pelaksanaan penyelesaian jangka panjang.

“Pelaksanaan projek ini yang kita panggil sebagai ‘Acute Water System’ adalah satu penyelesaian interim untuk memastikan penduduk di kawasan Puncak Borneo mendapat bekalan air bersih dan mencukupi dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Fasiliti Sistem Bekalan Air Puncak Borneo dan lawatan kerja ke Empangan Bengoh, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti enam juta liter sehari, pemasangan paip baharu serta pembinaan muka sauk mentah ini adalah antara komponen penting projek yang direka untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air dan memastikan kelangsungan bekalan terutama semasa musim puncak dan perayaan.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun projek tersebut dijadualkan siap pada 29 Disember 2025, beliau mahu ia disiapkan lebih awal.

“Kita telah minta supaya kalau boleh dipercepatkan, percepatkan. Sebab kita percaya kontraktor mempunyai pengalaman untuk menyiapkan projek tersebut dengan cepat.

“Kalau boleh, sebelum Krismas tahun ini pun bagus,” tegasnya lagi.

Projek itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan dilaksanakan oleh JBALB Sarawak dengan tender dikendalikan oleh syarikat Bumia Sdn. Bhd.

Terdapat dua komponen utama dalam projek ini.

Bahagian pertama adalah kerja-kerja pembinaan sistem bekalan air yang bermula pada 30 April dan dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

Bahagian kedua pula merangkumi operasi dan penyelenggaraan fasiliti air bagi tempoh 36 bulan selepas pembinaan siap.

Namun begitu, ujarnya lagi, aspek penyelenggaraan akan terus dipertimbangkan secara budi bicara selepas tempoh tersebut demi memastikan bekalan air bersih yang mencukupi dan berterusan kepada lebih 36,000 penduduk di kawasan Puncak Borneo dan sekitarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan