SERIAN, 30 April: Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II yang menelan belanja RM260 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2027.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dimulakan sejak Oktober 2024 itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB).
“Kita berharap apabila projek ini siap kelak, ia dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk di Bahagian Serian,” katanya ketika ditemui menghadiri Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air Sarawak di Loji Rawatan Air Slabi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain pelaksanaan projek baharu itu, kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip lama juga sedang dilaksanakan di kawasan sama melibatkan peruntukan berjumlah RM107 juta dalam tempoh lima tahun.
Setakat ini, kemajuan fizikal Kontrak Peringkat 1 telah mencapai 19 peratus, manakala Kontrak Peringkat 2 mencatatkan kemajuan sebanyak 7.37 peratus.
“Kita akan menggantikan semua paip lama yang sudah bocor dan uzur. Bagi laluan dari Siburan ke Serian, penggantian melibatkan paip sepanjang 34 kilometer dengan saiz 900 milimeter,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa 3 akan dilaksanakan selepas fasa 2 siap.
Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa 3 merangkumi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Sebanyak 76 kampung dengan 1,800 rumah dalam Bahagian Serian bakal mendapat manfaat setelah projek ini siap.
Beliau menjelaskan, setakat ini Loji Rawatan Air Slabi mencukupi bagi membekalkan air di Bahagian Serian iaitu sebanyak 112.2 juta liter sehari (MLD).
“Loji Rawatan Air Slabi mempunyai kapasiti menghasilkan air sebanyak 110 MLD dan kini mempunyai tambahan sebanyak 75 MLD.
“Kita juga mempunyai satu lagi Loji Rawatan Air di Balai Ringin yang mempunyai kapasiti 2.2 MLD,” katanya.