MIRI, 30 April: Polis Daerah Miri berjaya menumpaskan dua kes pengedaran dadah dalam serbuan berasingan yang dijalankan pada Ahad yang membabitkan rampasan dadah bernilai keseluruhan RM122,960.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua serbuan itu dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Miri melibatkan tangkapan di sebuah pusat hiburan dan sebuah kediaman.
Dalam serbuan pertama yang dijalankan sekitar jam 12 tengah malam di sebuah pusat hiburan di bandar ini dan seorang pekerja warga asing ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah dipercayai untuk tujuan jualan. Antara dadah yang dirampas termasuk serbuk disyaki ekstasi seberat 1,396.8 gram, pil ekstasi seberat 37 gram dan ketamin seberat 10.2 gram dan pod berisi dadah seberat 66.9 gram.
“Anggaran nilai dadah yang dirampas dalam serbuan ini adalah sekitar RM25,620, yang mampu digunakan oleh kira-kira 1,509 orang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Manakala, serbuan kedua pula berlaku sekitar jam 1.25 pagi hari sama di sebuah rumah kediaman di kawasan perumahan Miri.
Polis berjaya menemukan sejumlah besar dadah jenis syabu seberat 31,400 gram dengan nilai RM97,340.00.
“Turut dirampas dalam serbuan ini ialah sebuah kenderaan bernilai RM20,000 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun telah ditahan dalam serbuan tersebut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya lagi.
Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 195 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan serta pesalah juga boleh dikenakan sebat minimum 12 kali sekiranya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan pengedaran dadah di kawasan Miri dan sekitarnya. – TVS