LIMBANG, 30 April: Golongan pelajar antara yang ditahan dan disaman dalam Ops Motosikal dan Ops Didik yang dilaksanakan di bandar ini selama dua minggu bermula 18 April lepas.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, sebanyak 17 buah motosikal ditahan dan 120 saman dikeluarkan atas 120 kesalahan jalan raya dalam operasi sama.
“Operasi disertai seorang pegawai dan lapan anggota trafik di beberapa jalan utama di pusat bandar dan kawasan perumahan.
“Sebanyak 17 buah motosikal ditahan dan mereka yang ditahan juga tidak mempunyai lesen motosikal,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang hari ini.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen, ubah suai ekzos, ubah suai struktur kenderaan, tiada perlindungan insurans, tiada nombor plat, tiada cermin sisi, tiada penutup rantai, tiada cukai jalan, brek tidak berfungsi serta menunggang motosikal di bawah umur.
Katanya, mereka yang ditahan akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, Ops Didik ini diadakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang soal keselamatan dan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.
Beliau juga menasihati ibu bapa dan penjaga agar memantau anak-anak mereka dan tidak membenarkan anak-anak mereka mengubah suai kenderaan terutama motosikal dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen, terutama di bawah umur.
“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen kerana tindakan juga akan diambil kepada pemilik motosikal dan kenderaan terbabit,” katanya lagi.
Tegasnya, banyak aduan diterima pihaknya berhubung bunyi bising daripada aktiviti menunggang motosikal terutama pada waktu malam.-TVS.