SIBU, 30 April: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) terus memperkukuh peranannya sebagai barisan hadapan kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting dalam membentuk imej kerajaan yang dipercayai rakyat.
“Justeru, kita perlu sentiasa proaktif, cekap dan responsif terhadap keperluan serta maklum balas daripada orang ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Raya Nostalgia MPS 2025 di Dewan Kompleks Islam Sibu malam tadi.
Beliau turut menekankan bahawa keupayaan pihak MPS untuk mendengar, bertindak dan menambah baik secara berterusan adalah kunci kepada kepercayaan dan sokongan terhadap PBT.
“Saya yakin, dengan semangat kerja berpasukan dan dedikasi yang tinggi, kita mampu menjadikan Sibu sebagai bandar yang progresif, bersih dan penuh kasih sayang,” tambahnya.
Chieng turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja MPS atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan Sibu kekal sebagai bandar yang bersih, selesa dan progresif untuk semua lapisan masyarakat.-TVS