TAWAU, 30 April: Gambar dan video memaparkan mayat seorang lelaki dalam parit tular di media sosial sebelum polis mengesahkan penemuan mayat itu di Kampung Titingan, Tawau, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan mengenai penemuan tersebut.
“Susulan maklumat itu, polis telah ke lokasi kejadian dan menjumpai mayat seorang lelaki. Butiran identitinya masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan.
Mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.
Jasmin berkata, kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). -TVS