TEBEDU, 30 April: Lawatan penilaian keselamatan telah diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu oleh pasukan Jawatankuasa Kecil Penilaian Keselamatan Sasaran Penting (JKPKSP) Negeri Sarawak, semalam.
Lawatan ini bertujuan untuk menilai tahap keselamatan di salah sebuah pintu masuk utama negara.
Hadir mewakili Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sarawak ialah Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Ibrahim Jack bersama Ketua Bahagian Kewangan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, Eddie Wani dan Laini Mizan Hussin manakala pasukan JKPKSP diketuai oleh Timbalan Pengarah CGSO, Ratna Omar.
JIM Sarawak dalam kenyataannya berkata, lawatan dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan operasi harian ICQS Tebedu yang disampaikan oleh TPPK Allan Kakak.
Taklimat ini memberikan gambaran jelas mengenai prosedur operasi standard, cabaran serta kejayaan yang telah dicapai dalam menguruskan pergerakan keluar masuk di sempadan.
Eddie Wani telah menyampaikan taklimat mengenai perkembangan pembangunan Kompleks ICQS Tebedu, yang dijangka akan meningkatkan lagi kapasiti dan kecekapan operasi di masa hadapan.
Selepas sesi taklimat, satu sesi perbincangan dan soal jawab telah diadakan.
Sesi ini memberikan peluang kepada pasukan JKPKSP untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai aspek-aspek keselamatan dan operasi yang dibentangkan.
Perbincangan ini diyakini dapat menyumbang kepada penambahbaikan sistem keselamatan yang sedia ada.
Lawatan kemudiannya diteruskan dengan penilaian keselamatan secara langsung di sekitar kawasan instalasi ICQS Tebedu.Pemeriksaan ini meliputi infrastruktur keselamatan, prosedur kawalan akses, serta potensi risiko keselamatan yang mungkin wujud.
Hasil daripada lawatan penilaian ini akan dijadikan panduan dalam merangka strategi dan langkah-langkah penambahbaikan keselamatan bagi memastikan ICQS Tebedu terus menjadi kawasan yang selamat dan terkawal. – TVS