MIRI, 30 April: Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyeru rakyat Sarawak agar terus memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama antara kaum sebagai pemangkin utama ke arah menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang maju.
“Kita di Sarawak amat bertuah kerana hidup dalam suasana yang penuh keharmonian. Setiap bulan ada sahaja perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Gawai, Deepavali, Krismas dan ini menjadikan Sarawak satu tempat yang bahagia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai Agensi Kerajaan di Wisma Pelita Tunku di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, situasi keharmonian yang dinikmati di Sarawak hari ini merupakan hasil usaha berterusan para pemimpin yang sentiasa menitikberatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kita semua adalah anak-anak Sarawak. Tak kira kaum atau agama, kita dalam satu keluarga yang bernama Sarawak,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak menggalakkan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk memanfaatkan wang saku yang akan mula diberikan pada tahun 2026.
“Pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di universiti dalam Malaysia akan menerima wang saku berjumlah RM1,200 setahun. Ini merupakan dasar dan pendekatan baharu yang memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan latihan teknikal sebagai salah satu kunci utama untuk meningkatkan pendapatan isi rumah di Sarawak.
“Jika lebih ramai memperoleh pendidikan tinggi, kita dapat melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal. Dengan gaji yang tinggi, secara keseluruhan ia menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah di negeri ini,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dengan kerjasama Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB). – TVS