CARDIFF, 30 Apr: Kerjasama strategik antara SMD Semiconductor Sdn Bhd (SMD) dan CSA Catapult, bersama rakan ekosistem semikonduktor United Kingdom termasuk Silicon Catalyst UK dan 53Gi (Weeteq), menyasarkan pencapaian pelbagai hasil teknologi dan ekonomi.
Pengerusinya, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata ia berpotensi mengubah lanskap inovasi semikonduktor di Sarawak serta rantau ASEAN.

Inisiatif berprofil tinggi ini bakal memacu pembangunan teknologi cip pintar berasaskan Gallium Nitride (GaN) dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membuka jalan kepada penciptaan rantaian bekalan semikonduktor yang mampan.
Antara lain katanya bagi mencipta peluang pasaran baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, automotif dan aplikasi angkasa.
Menurut Wan Lizozman, kerjasama ini akan memfokuskan kepada tiga teras inovasi utama iaitu pembangunan Edge AI Power Converter, teknologi GaN berkuasa tinggi dan integrasi heterogen dalam pembungkusan cip 2.5D dan 3D.
“Cip-cip yang dibangunkan akan lebih kecil, lebih sejuk dan lebih berkuasa, menepati keperluan industri masa depan seperti grid pintar, mobiliti elektrik dan automasi kritikal,” ujarnya.
Salah satu daripada hasil utama kerjasama ini ialah penciptaan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembuatan berkembar antara Sarawak dan UK.
Dengan menggabungkan kekuatan inovasi teknologi UK dan kedudukan strategik Sarawak di Asia Tenggara, kedua-dua pihak mensasarkan penubuhan rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih berdaya tahan dan kompetitif.
“Ini bukan sekadar pemindahan teknologi, ia adalah sinergi inovasi rentas benua yang bakal melahirkan keupayaan reka bentuk dan pembuatan cip pintar bertaraf dunia,” kata Wan Lizozman.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada aliran masuk pelaburan asing ke Sarawak, membuka ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab semikonduktor ASEAN.
Selain impak ekonomi, kerjasama ini juga memfokuskan kepada pembangunan teknologi mesra alam seperti cip untuk pemantauan alam sekitar dan mobiliti lestari sejajar dengan keperluan global terhadap penyelesaian teknologi hijau yang mampan.
Wan Lizozman turut menekankan peranan kecerdasan buatan dalam reka bentuk cip generasi baharu.
“SMD melihat AI bukan sekadar alat, tetapi pemacu utama reka bentuk cip pintar kami di mana ia akan mempercepat inovasi dan meningkatkan daya saing global produk kita,” katanya.
Menurutnya kerjasama ini menandakan permulaan kepada perubahan besar dalam landskap teknologi negara, dengan Sarawak bersedia untuk menjadi peneraju inovasi cip pintar dan pusat penting dalam peta teknologi global. -TVS