Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seah Boon Tiat pada sidang media majlis Pelancaran Prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) Hartanah Kenyalang Berhad di Kuching, hari ini. Foto TVS

IPO Hartanah Kenyalang buka ruang teroka lebih banyak projek

KUCHING, 30 April: Penyenaraian Hartanah Kenyalang Berhad (Hartanah Kenyalang) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 9 Jun 2025 kelak akan membuka lebih banyak ruang bagi syarikat itu untuk meneroka peluang pembangunan yang luas dalam industri pembinaan khasnya di Sarawak dan Malaysia.

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, kelulusan Bursa Malaysia untuk tawaran awam awal (IPO) juga akan membantu memperluaskan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut dalam segmen perkhidmatan reka bentuk termasuk berkaitan teknologi maklumat, pembinaan infrastruktur serta logistik, menerusi anak syarikatnya, Hartanah Construction Sdn. Bhd.

“Menerusi ‘order book’ atau anggaran projek terkini, kami mempunyai projek bernilai dalam anggaran RM150 juta, dan selain daripada kerja-kerja projek pembinaan sekolah yang telah kami laksanakan, kami juga telah memulakan projek perkhidmatan reka bentuk dan pembinaan.

“Kami juga sedang dan telah melaksanakan projek kerajaan negeri juga Persekutuan yang mana untuk Sarawak, kami menjalankan pelbagai projek pembangunan infrastruktur, loji rawatan air dan juga substesen. Ini merupakan hala tuju kami untuk projek-projek seterusnya, selain projek pembinaan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Pelancaran Prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) Hartanah Kenyalang Berhad di sini, hari ini.

Antara projek yang dibangunkan oleh Hartanah Kenyalang termasuklah pembinaan bangunan Arkib Negeri di Kuching, Sekolah Antarabangsa Yayasan di Kuching dan Sibu serta pembinaan dan naik taraf sekolah daif Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay, Kota Samarahan dan SK Kujang Mawang, Serian.

Sementara itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo dalam ucapannya memuji usaha Hartanah Kenyalang dalam membawa pembangunan progresif kepada wilayah ini.

“Di pihak kerajaan, kami percaya serta memberi sokongan penuh kepada pemain industri seperti Hartanah Kenyalang Berhad yang menjalankan projek serta pelaburan yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan dalam pada masa yang sama menyediakan peluang pekerjaan serta memperkasakan warga,” katanya.

Menerusi IPO yang diluluskan oleh Bursa Malaysia, Hartanah Kenyalang akan memperuntukkan tawaran awam sebanyak 198.4 juta saham biasa meliputi terbitan awam sebanyak 120.9 juta saham baharu dan tawaran jualan 77.5 juta saham sedia ada, yang secara keseluruhan mewakili 32 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar syarikat sebanyak 620 juta saham biasa.

Menurutnya, daripada 120.9 juta saham baharu itu, 31 juta saham baharu akan dibuka untuk permohonan umum, manakala 18.6 juta saham baharu lagi akan dibuka untuk permohonan oleh kalangan pengarah dan pekerja yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Boon Tiat menambah, Kenyalang Hartanah akan turut menawar serta memperuntukkan jualan 77.5 juta saham sedia ada melalui tawaran persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti, seperti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara baki 71.3 juta saham baharu akan diperuntukkan untuk tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan