JAKARTA, 30 April: Kerajaan Indonesia mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi musim kemarau dengan melaksanakan langkah strategik bagi menangani risiko kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di beberapa wilayah berisiko tinggi.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB), Suharyanto, berkata usaha itu melibatkan kerjasama lebih menyeluruh antara agensi kerajaan termasuk tentera dan polis, selain pengoptimuman penggunaan teknologi serta peralatan terkini bagi menghadapi kemungkinan bencana.
“Karhutla bukan hanya isu alam sekitar, malah memberi impak besar terhadap kesihatan, ekonomi dan geopolitik. Justeru, sinergi antara semua agensi perlu berada dalam keadaan kesiapsiagaan sepenuhnya,” katanya dalam Perhimpunan Pasukan Operasi Siaga Kebakaran Nasional di Riau, semalam.
Menurut beliau, enam wilayah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan bagi pengurusan karhutla tahun ini iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
Sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan, BNPB akan melaksanakan Operasi Modifikasi Cuaca (OMC) bermula 1 Mei ini bagi menghasilkan hujan buatan. Langkah itu bertujuan membasahkan kawasan tanah gambut serta menambah bekalan takungan air sebelum musim kemarau memuncak.
Suharyanto turut memaklumkan, jumlah kejadian karhutla mencatat penurunan ketara sejak tiga tahun lalu – daripada 176 kes pada 2023 kepada hanya 21 kes sepanjang 2024.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan terus berwaspada sepanjang musim kemarau tahun ini.