KUCHING, 30 April: Sebuah bot tunda bersama dua kru warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak selepas dikesan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia melakukan tangkapan itu ketika melakukan rondaan Op TIRIS 3.0 dan Op PERMAI 01/2019 kira-kira 10 batu nautika utara Tanjung Marou sekitar pukul 10.20 malam Isnin.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan dua kru lelaki yang berumur antara 41 dan 51 tahun itu gagal mempamerkan Domestic Shipping License (DSL) di atas vesel semasa diperiksa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya lagi, vesel tersebut turut didapati gagal melaporkan pertukaran
nakhoda dan beroperasi tanpa kru yang mencukupi.
“Vesel bersama semua kru telah diiring ke Jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin
(KOMTAS) dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk
siasatan lanjut,” katanya. -TVS