CARDIFF, 30 Apr: Cip pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh SMD Semiconductor Sdn Bhd (SMD) dikenal pasti berpotensi menjadi pemacu utama transformasi dalam sistem grid tenaga dan industri automotif dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil, berkata teknologi Edge AI Power Converter adalah satu inovasi disruptif yang bakal menyelesaikan isu kritikal seperti gangguan bekalan elektrik, penggunaan tenaga yang tinggi serta kecekapan sistem motor elektrik.
“Terutamanya dalam sektor automotif dan tenaga boleh diperbaharui, sebagai contoh, teknologi ini penting untuk memastikan sistem grid kita menjadi lebih stabil dan tahan lasak, selain itu, ia juga relevan dalam semua sistem pemacu motor.
“Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan penggunaan tenaga dunia ketika ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripadanya dijana oleh motor, sekiranya kita mempunyai penyelesaian inovatif yang baharu seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga, maka itulah teknologi disruptif yang sedang dinantikan oleh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa pra pelancaran teknologi Edge AI Power Converter yang dikenali sebagai KETEQ AI di CSA Catapult, Cardiff pada Selasa.
Menurut Shariman, kelebihan utama SMD berbanding pemain industri lain ialah kemampuan mengintegrasikan keupayaan AI secara langsung ke dalam cip itu sendiri, bukan sekadar di peringkat sistem luaran.
Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan keperluan mendesak terhadap teknologi ini dengan krisis tenaga yang sedang melanda beberapa negara maju seperti Sepanyol dan Portugal, yang mengalami gangguan besar bekalan elektrik.
“Gangguan bekalan ini boleh menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar Amerika setiap hari kerana tiada bekalan elektrik yang melanda beberapa negara di Eropah seperti Sepanyol dan Portugal.
“Jadi, apakah yang boleh kita pelajari daripada situasi ini, ia jelas menunjukkan bahawa kita memerlukan teknologi grid baharu yang lebih kukuh dan tahan lasak, inilah salah satu contoh teknologi yang sedang kami bangunkan sekarang,” katanya.
Pembangunan cip ini kini berada di peringkat awal, dan SMD menjangkakan tempoh satu hingga dua tahun diperlukan sebelum ia bersedia untuk dikomersialkan sepenuhnya dengan sasaran pasaran termasuk UK, Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara.
SMD optimis teknologi ini akan membuka pasaran baharu, menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mencipta peluang bakat di Sarawak. -TVS