TATAU, 30 April: Pihak bomba membantu menyelamatkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang pengsan di Bukit Kana Resort National Park, Jalan Sangan, Ulu Anap di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 12.32 tengah hari dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa lelaki pengsan namun telah sedar dengan sendiri. Anggota bomba bertindak mengiringi dan membawa mangsa keluar ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba berjalan kaki melalui laluan berbukit dengan jarak dianggarkan 2.5 kilometer bagi menyelamatkan mangsa.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Pejabat Daerah Tatau untuk tindakan lanjut,” ujarnya .- TVS