KUALA LUMPUR, 30 April: Barisan artis popular tanah air akan turun ke Miri, Sarawak untuk menghiburkan peminat mereka sempena penganjuran konsert MeleTOP TVS pada 17 Mei depan.
Antara yang akan membuat persembahan pada konsert itu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri termasuk dua bintang popular kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah dan Hafiz Suip.
Turut terlibat menghangatkan konsert dengan rangkaian lagu popular mereka ialah Marsha Milan, Stacy, Hael Husaini, Dolla, Nadeera Zaini, dan Floor 88.
Konsert akan dikendalikan oleh Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hana Rizwana bergandingan dengan pengacara TVS iaitu Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh.
Konsert MeleTOP TVS akan disiarkan secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV dan UnifiTV), Astro ONE serta Sooka.
Sementara itu TVS mengintai peluang untuk menjadikan Konsert MeleTOP TVS sebagai satu acara tahunan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal berkata, perkara itu bergantung kepada kejayaan konsert di Miri.
“Kita lihat, kalau (penganjuran) berjaya kita akan mengadakannya di daerah lain. Kali ini di Miri, mana tahu selepas ini di Bintulu, Sibu atau Kuching,” katanya.
Jelas beliau, peluang itu juga akan dipertimbang memandangkan ASTRO merupakan rakan media stesen itu bagi menjayakan konsert tersebut.
“ASTRO merupakan rakan media kami selama lebih empat tahun, kerana itu kami memilih ASTRO untuk menjayakan acara ini,” katanya.
Tambah Mohamad Sardon, lebih 5,000 pengunjung dari pelbagai bahagian lain di Sarawak termasuk Kuching, Bintulu juga negara jiran, Brunei dijangka menghadiri konsert berkenaan.
TVS, kata beliau juga akan menyediakan tayangan layar gergasi konsert tersebut nanti.
Tempahan awal tiket yang dibuka sudah penuh namun, peminat masih berpeluang mendapatkan tiket ekslusif dengan mengikuti pengumuman di laman sosial media TVS Entertainment tidak lama lagi.-TVS.