KUALA LUMPUR, 30 April: Kumpulan AFFIN mengumumkan kelebihan khusus kepada pemain golf yang akan dinikmati oleh pelanggan yang memiliki kad Premier AFFIN.
Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi berkata, menerusi kerjasama dengan La Casa Leal, pelanggan yang layak akan menikmati pengalaman bermain golf bertaraf tinggi dalam suasana moden dan santai.
Kata beliau, mereka berbangga bekerjasama dengan La Casa Leal bagi meningkatkan keistimewaan program golf sedia ada dengan menawarkan akses percuma Suite Golf Valderrama yang menampilkan simulator golf yang canggih dalam suasana peribadi dan bergaya.
“Bermula 1 Mei hingga 31 Disember 2025, pemegang kad AFFIN Premier akan menikmati sesi empat jam secara percuma dengan pilihan untuk membawa sehingga empat orang tetamu.
“Selain itu, pelanggan yang hadir tanpa janji temu pula akan menerima diskaun sebanyak 15 paratus pada kadar yang diterbitkan untuk kedua-dua ‘suite golf’ serta makanan dan minuman merentasi venue,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di Restoran La Casa Leal di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Mohamad Fairuz turut mengumumkan pelancaran AFFIN Cards Golf Challenge 2025 iaitu sebuah kejohanan yang menjadi acara penting dalam kalendar golf negara.
Kejohanan yang memasuki edisi kelima itu menyaksikan penambahan pusingan kelayakan baharu di Sabah dan Sarawak.
“Bagi melayakkan mereka untuk menyertainya, pemegang kad AFFIN hanya perlu membelanjakan minimum RM20,000 antara 1 Mei dan 31 Julai 2025.
“Seramai 20 pemain golf terbaik dari setiap pusingan kelayakan akan mendapat tempat dalam Grand Finale yang akan diadakan di Glenmarie Golf and Country Club pada 12 Oktober 2025,” katanya.
Tambahnya, edisi kali ini juga menyaksikan jalinan kerjasama antara Kumpulan AFFIN dan Bermaz Auto Berhad dengan menawarkan kereta jenis Kia Sportage kepada peserta yang berjaya mencatatkan ‘hole in one’. – TVS.