Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara lokasi pemeriksaan penguatkuasa KPDN Sandakan di premis pembungkusan minyak masak subsidi yang disyaki menyeleweng edaran bekalan. Foto KPDN Sandakan

Syarikat pembungkus minyak masak subsidi Sandakan dikenakan tindakan KPDN

SANDAKAN, 29 April: Sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Sandakan disiasat selepas didapati menyeleweng pengedaran 13 tan metrik minyak masak paket 1 kilogram tanpa kelulusan Pengawal Bekalan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, syarikat berkenaan hanya mengedar 21 tan metrik daripada 34 tan metrik bekalan yang ditetapkan, hasil pengauditan pada 25 April lalu.

Beliau berkata, baki bekalan yang sepatutnya dihantar ke lokasi ditetapkan telah diedarkan ke tempat lain, melanggar arahan edaran rasmi yang dikuatkuasakan sejak Ogos 2024.

“KPDN Sandakan turut menyita invois, resit jualan, buku stok dan lesen barang kawalan syarikat berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengawasan dan pengauditan berkala akan terus dipertingkat bagi memastikan minyak masak subsidi sampai kepada pengguna sasaran.

KPDN menyeru orang ramai menyalurkan aduan berkaitan ketidakpatuhan bekalan barang kawalan melalui WhatsApp di 019-848 8000, portal eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, atau Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088 / 6245.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan