JOHOR BAHRU, 29 April: Lima sindiket pengedaran dadah tumpas susulan operasi khas dilancarkan polis Johor dengan rampasan dianggarkan hampir RM9 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, operasi bermula 20 hingga 24 April lalu melibatkan daerah Johor Bahru Selatan, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang.
Menurutnya, kelima-lima individu yang ditahan membabitkan empat warga tempatan dan seorang warga Singapura.
“Pada 23 April, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun diberkas dalam serbuan di Jalan Kulai-Kota Tinggi melibatkan kereta jenis Honda Civic yang disewa dan dipercayai menjadi stor penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Sementara itu, beliau berkata, dalam tiga operasi lain melibatkan daerah Johor Bahru Selatan, Kluang dan sekitar IPK Johor berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun.
Pada masa sama, Kumar memaklumkan rampasan itu turut melibatkan pelbagai jenis dadah seperti syabu, serbuk ekstasi, ketamin, ganja, heroin, pil Erimin 5, pil ekstasi dan pil yaba dengan nilai keseluruhan melebihi RM5.2 juta.
Beliau memberitahu, kesemua direman hingga 30 April untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS.