SERIAN, 29 April: Penganjuran Serian Agrofest 2025 yang julung kali diadakan menyasarkan lebih 4,000 pengunjung termasuk dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, pihaknya berharap penganjuran agrofest ini menjadi acara tahunan serta menyeru penduduk khususnya di kawasan Serian, Tebedu, Siburan termasuk Kuching dan Samarahan untuk turut sama hadir ke festival tersebut.
“Kita harapkan ia dimasukkan ke dalam kalendar sambutan perayaan rasmi Bahagian Serian. Selain itu, Jabatan Pertanian Serian juga menyasarkan nilai pendapatan jualan sebanyak RM100,000 sepanjang tiga hari itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Penganjuran Serian Agrofest 2025 di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian, semalam.
Acara berlangsung selama tiga hari bermula 23 Mei hingga 25 Mei 2025 akan diadakan di Dataran Mutiara Tebedu, Serian.
Kata Martin, penganjuran acara bertujuan menjadi platform kepada petani, penternak dan nelayan darat untuk mempamerkan produk masing-masing.
Ia juga sekali gus, membuka peluang kepada Jabatan Pertanian Serian untuk bertemu pelanggan bagi memberi pendedahan serta perkongsian pengetahuan dan teknologi terkini dalam bidang pertanian.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada 23 Mei 2025.
“Pada majlis perasmian itu juga akan berlangsung perarakan Gawai “Nginyon” yang melibatkan semua penduduk di bawah pentadbiran Bahagian Serian.
“Oleh itu, kita galakkan orang ramai untuk memakai pakaian traditional etnik masing-masing. Selain itu, penyerahan Baton Penganjuran Agrofest kepada Bahagian Betong selaku tuan rumah seterusnya bagi penganjuran Spaoh Agrofest 2025 juga akan diadakan pada hari yang sama,” katanya.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik termasuk reruai jualan dan gerai selain turut diadakan kursus dan demonstrasi pertanian seperti diseminasi tanaman kopi, kursus komoditi tanaman lada dan kelapa sawit, demonstrasi cantuman pokok rambutan dan durian, pembiakan aruhan ikan semah dan tengadak serta demonstrasi masakan udang kara.
Seterusnya, acara kemuncak termasuk Program Aco Lepa Birami Gawai anjuran RTM pada 23 Mei, Anugerah Carta Lagu Bidayuh Edisi ke-10 pada 24 Mei dan Konsert Agrofest Serian 2025 pada malam yang sama selain terdapat acara sampingan seperti cabutan bertuah. – TVS