BINTULU, 29 April: Sarawak Petchem bersama Pejabat Residen Bintulu hari ini menganjurkan Program Libat Urus Keselamatan Industri Bintulu yang julung kali diadakan, sebagai usaha memperkukuh budaya kerja yang lebih selamat dalam sektor industri.
Menurut kenyataan media Sarawak Petchem Sdn Bhd, program di loji Sarawak Petchem itu menghimpunkan kira-kira 50 pemegang taruh, termasuk wakil pemain industri dan agensi kerajaan, bagi sesi perkongsian ilmu dan perbincangan berkaitan keselamatan tempat kerja.
“Program ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan dan menyemai budaya keselamatan merentas sektor industri Bintulu.
“Sarawak Petchem kekal komited menyokong inisiatif yang memajukan kecemerlangan operasi sambil melindungi kesejahteraan semua pihak berkepentingan,” tambah kenyataan itu.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, yang menekankan peranan kerjasama dalam memperkukuh amalan keselamatan.
“Usaha kolaboratif adalah penting dalam memperkukuh amalan keselamatan di seluruh sektor industri Bintulu,” ujar kenyataan itu lagi.
Tiga pembentangan utama turut diketengahkan dalam program ini, yang memberi tumpuan kepada kesedaran keselamatan, amalan terbaik industri dan pengurusan keselamatan secara proaktif, selaras dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan berdaya tahan. – TVS