MIRI, 29 April: Kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan serius terhadap usaha memulihkan projek-projek ‘sakit’ di seluruh negeri dengan memperkenalkan pendekatan lebih tegas dan pantas, termasuk pelaksanaan konsep ‘one month rule’ bagi memastikan kerja-kerja pembinaan bermula segera selepas tapak diserahkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil susulan lebih 100 projek sakit yang dikenal pasti di seluruh negeri akibat kelewatan pelaksanaan sebelum dan semasa pandemik COVID-19.
“Satu tumpuan yang kita beri adalah untuk menentukan satu pemulihan projek sakit. Waktu itu ada 100 lebih projek sakit… dan kita dengan perlahan-perlahan dapat menyelesaikan masalah dengan melantik kontraktor penyelamat.
“Lepas itu kita buat satu KPI untuk menentukan bahawa sifar projek sakit diatasi dengan pendekatan ‘one month rule’ di mana JKR menetapkan bila tapak diserah pada 1 Mac, maka pada 30 Mac kerja mesti dimulakan. Kalau tidak dimulakan, JKR boleh tamatkan projek,” katanya ketika ditemui media di Majlis Pecah Tanah di Kampung Bulau, Bekenu hari ini.
Tambahnya lawatan ke tapak projek menjadi keutamaan bagi memastikan laporan sebenar di lapangan, memandangkan terdapat perbezaan antara laporan dari pejabat dan realiti di tapak pembinaan.
“Antara pendekatan lain yang diambil termasuk melantik sub-kontraktor sekiranya kontraktor asal gagal memulakan kerja, agar rakyat tidak terus menunggu projek yang dijanjikan.
“Selain itu, pelaksanaan projek bukan sahaja memenuhi keperluan infrastruktur penduduk, malah membantu merangsang ekonomi setempat,” tambahnya.
Dalam usaha memperkasa pelaksanaan pembangunan, Uggah berkata, kerajaan negeri telah meluluskan tambahan seramai 412 pegawai baharu di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dengan Miri menerima seramai 20 orang tambahan.
“Kita harus bersiap sedia kerana suatu hari nanti bajet pembangunan kita mungkin mencecah RM20 bilion. Kalau kita tidak mampu melaksanakan, maka kita gagal. Sebab itu kita perlu kuatkan kapasiti dan keupayaan sekarang,” ujarnya.
Penambahbaikan ini diselaraskan dengan peralihan fokus Sarawak ke arah pembangunan ekonomi baharu menjelang 2030 di bawah agenda PCDS 2030. – TVS