KUCHING, 29 April: Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak kembali menghangatkan gelanggang arena sukan negara melalui penganjuran memasuki edisi ke-9 yang bakal berlangsung dari 1 hingga 4 Mei di Tebingan Kuching.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata, penyertaan edisi kali ini menyaksikan seramai 250 peserta dari pelbagai kelab di Malaysia termasuk penglibatan tujuh negara luar yang bakal berentap bagi memburu gelaran juara.
“Penyertaan juga termasuk dari negara luar seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yemen dan Iran. Peserta akan berentap dalam 130 pertarungan kategori Muaythai Muaysport serta 16 pertarungan Superfight Pro yang menjanjikan aksi-aksi penuh sengit.
“Jumlah penyertaan yang meningkat saban tahun membuktikan kejohanan ini mampu merancakkan sektor pelancongan negeri serta membawa impak ekonomi kepada industri perhotelan, pengangkutan dan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Muay Thai Piala TYT Sarawak dan Piala Borneo di sini, hari ini.
Selain pertarungan Muaythai yang menjadi tumpuan utama, katanya, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan tersebut.
“Pelbagai aktiviti sampingan turut dijadualkan bagi memeriahkan kejohanan, termasuk sesi pengenalan pasukan, persembahan seni bela diri, perlawanan e-sukan melibatkan 256 peserta.
“Antara acara lain yang mencuri perhatian adalah perlawanan Muaysport ,sukan elektronik, acara kesihatan, senamrobik dan Fun Run bagi menyemarakkan suasana kejohanan, ” ujarnya.
Kejohanan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Menariknya, penonton juga akan disajikan dengan persembahan seni bela diri dan pertunjukan gusti profesional yang menampilkan penggusti-penggusti ternama tempatan.
Kejohanan tersebut juga turut menyelitkan elemen gaya hidup sihat menerusi penganjuran Fun Walk Muaythai Piala TYT dan Jelajah ANMS Bahagian Kuching Siri 3 yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mei, bermula jam 6 pagi dengan sasaran penyertaan seramai 500 orang. – TVS