LIMBANG, 29 April: Pelbagai projek pembangunan sedang rancak dilaksanakan kerajaan Sarawak di Limbang dalam tempoh lima tahun lepas bagi memacu kemajuan sosioekonomi di wilayah utara negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, projek pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan berjaya mengubah landskap pembangunan di daerah itu.
“Memang banyak projek pembangunan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini di Limbang, jalan raya, projek Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC), pemanjangan landasan lapangan terbang, projek pembangunan pejabat Majlis Daerah Limbang (MDL) dan sebagainya.
“Tiga projek mega iaitu Lebuh Raya Trans Borneo, Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Pesisir Utara turut dilaksanakan serentak,”ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Kedayan Limbang (PKL) di Dewan Suarah Limbang malam tadi.
Beliau turut memberitahu PKL yang ditubuhkan pada 2007, bakal mempunyai bangunan pejabatnya tersendiri yang dibina mengikut konsep moden dan canggih dengan kos RM25 juta.
Katanya bangunan itu akan memuatkan kapasiti 500 hingga 700 orang selain dilengkapi dewan, pejabat dan kemudahan lain yang menyaksikan kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula September 2025.
Beliau menjelaskan lagi kerja- kerja pembinaan itu mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap pada awal 2027.
Beliau mahu prasarana itu dijaga sebaiknya untuk untuk aktiviti persatuan selain disewa kepada pihak lain yang mampu menjana pendapatan persatuan itu. – TVS