MIRI, 29 April: Noreen Mohd Hairol seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan tersebut tetap memilih untuk mengisi masa menunggu keputusan dengan bekerja di sebuah kilang kek lapis tempatan.
Menurutnya, keputusan itu bukan sekadar untuk mencari pendapatan tetapi juga sebagai usaha membina jati diri, belajar berdikari dan menghargai nilai usaha gigih.
“Ramai remaja ambil peluang ini untuk berehat, tetapi saya pilih untuk bekerja. Seronok sebenarnya, sebab saya dapat belajar dari rakan-rakan yang jauh lebih berpengalaman. Saya juga mahu kumpul duit untuk sambung belajar nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pengalaman bekerja dalam suasana sebenar banyak mengajarnya tentang cabaran dunia pekerjaan dan menanamkan semangat untuk terus berusaha mencapai cita-cita.
Dengan keputusan cemerlang yang diraih, Noreen kini dalam perancangan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang yang diminatinya.
Noreen sedang giat mengenal pasti peluang biasiswa dan institusi pengajian tinggi yang sesuai bagi merealisasikan impian tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada para pendidik yang telah banyak membantunya sepanjang perjalanan akademik.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru saya. Tanpa tunjuk ajar, doa dan sokongan mereka, saya tak mungkin sampai ke tahap ini,” ujarnya.
Kisah Noreen membuktikan bahawa kesungguhan, kerja keras dan sokongan komuniti mampu membawa kejayaan sekali gus menjadi inspirasi untuk keluarga dan Sarawak melahirkan generasi berdikari. – TVS