MIRI, 29 April: Projek pembinaan tempat letak kereta, jalan akses dan jalan simpang masuk baharu di kawasan sekolah-sekolah Senadin dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek ini merupakan satu peruntukan khas daripada Kerajaan Sarawak yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ia adalah hasil permohonan saya kerana masalah kesesakan di kawasan sekolah ini sangat serius dan perlu diselesaikan segera,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata demikian ketika lawatan kerja pembinaan kawasan letak kereta termasuk jalan akses dan simpang masuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut, Miri, hari ini.
Menurut beliau, SK Senadin akan menerima satu jalan akses baharu berserta 108 ruang letak kereta, manakala SMK Pujut yang mempunyai kira-kira 2,500 pelajar akan dilengkapi dengan 174 ruang letak kereta.
“Kita percaya kemudahan ini akan membantu mengurangkan kesesakan, terutamanya semasa waktu masuk dan tamat sekolah apabila ramai ibu bapa meletakkan kenderaan di tepi jalan,” katanya lagi.
Projek ini bernilai kira-kira RM1.6 juta dan mula dilaksanakan pada 24 Februari 2025 dan dijangka siap pada 23 Februari 2026.
Kim Shin turut mencadangkan beberapa penambahbaikan tambahan termasuk pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dan tempat letak motosikal berbumbung yang mampu memuatkan sehingga 200 buah motosikal di SMK Pujut.
“Penambahan kemudahan ini akan menggunakan lebihan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada projek asal.
“Kemudahan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada ibu bapa dan pelajar, tetapi juga boleh dimanfaatkan sebagai ruang pelbagai guna seperti aktiviti komuniti hujung minggu atau pasar jualan,” ujarnya. – TVS