SANDAKAN, 29 April: Seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk sambil membawa sebilah parang panjang di kawasan ABX, Bandar Indah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek berjaya diberkas sekitar jam 11 pagi oleh pasukan MPV dan URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.
“Parang sepanjang 70 sentimeter turut dirampas daripada lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek dipercayai bertindak agresif dan membahayakan keselamatan orang awam sebelum berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun  jika sabit kesalahan. -TVS