Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam satu lawatan kerja rasmi ke United Kingdom bermula Isnin. Foto Fiqri Razak (TVS)

Lawatan Premier ke UK fokus perkasa kerjasama strategik

ByShafik Ahmad

CARDIFF, 29 Apr: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam satu lawatan kerja rasmi ke United Kingdom bermula Isnin, bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang inovasi dan teknologi semikonduktor.

Ketibaan beliau di Cardiff, Wales pada jam 7 petang waktu tempatan, disambut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta kepimpinan kanan kerajaan negeri yang lain.

Lawatan ini menyaksikan Premier Sarawak dijadual mengunjungi Pusat Inovasi CSA Catapult di Newport.

Dalam kunjungan tersebut, beliau akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara syarikat tempatan, SMD Semiconductor Sdn Bhd dengan tiga pemain utama industri di UK – CSA Catapult, Silicon Catalyst dan 5G3i Ltd.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam industri semikonduktor global.

Malah ia sejajar dengan pelancaran Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 yang akan diperkenalkan dalam sesi taklimat oleh Pengerusi SMD Semiconductor, Datuk Seri Wanlizozman Wan Omar.

Satu daripada sorotan utama lawatan ini ialah demonstrasi prototaip sistem penukar pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI) oleh SMD Semiconductor, yang berpotensi besar dalam sektor tenaga, pengangkutan, industri berat, serta misi kritikal seperti aeroangkasa, penjagaan kesihatan dan pertahanan.

Selain lawatan ke CSA Catapult, Premier Sarawak turut dijadual mengadakan sesi jaringan bersama wakil kerajaan England, Scotland dan Ireland Utara untuk memperkukuh hubungan strategik UK-Sarawak dalam pembangunan industri teknologi tinggi.

Lawatan ini juga meneruskan momentum kerjasama strategik selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult pada April 2024, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk pembangunan teknologi dan pelaburan bersama.

Pada 1 Mei, beliau akan melawat Cambridge University Press and Assessment untuk meneroka kerjasama dalam pentaksiran pendidikan dan penyelidikan.

Delegasi turut bertemu International Hydropower Association dan Global Renewable Alliances bagi memperkukuh kerjasama tenaga hijau.

Lawatan ke UK diakhiri pada 3 Mei dengan Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) bersama pelajar Sarawak di UK dan Ireland.

Delegasi kemudian akan ke Toulouse, Perancis untuk lawatan ke ibu pejabat syarikat pembuat pesawat terbesar di Eropah, Airbus sebelum ke Abu Dhabi untuk lawatan berkaitan pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan