CARDIFF, 29 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Sarawak dan pemain industri utama di United Kingdom (UK) bakal meletakkan negeri ini sebagai pencipta teknologi baharu, bukan lagi sekadar pengguna.
Kolaborasi melalui platform seperti CSA Catapult, Innovate UK, dan Silicon Catalyst UK membuka peluang besar untuk menjalin ekosistem inovasi yang saling menguntungkan, sekali gus melonjakkan kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai global semikonduktor.
“Melalui gabungan kepakaran UK dalam semikonduktor sebatian, kecerdasan buatan, dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) termaju, kita sedang membina asas kukuh untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian masa hadapan.
“Ini dilakukan dengan menjana harta intelek (IP), dan melahirkan bakat bertaraf antarabangsa,” kata Abang Johari.
Beliau turut menekankan bahawa dalam landskap teknologi yang berkembang pesat, Sarawak tidak boleh sekadar menyesuaikan diri, tetapi mesti menjadi peneraju.
Ini termasuk pelaburan berani dalam teknologi hadapan dan menjalin kerjasama global strategik sebagai pemacu utama perubahan.
“Inisiatif kita tidak hanya bertumpu kepada infrastruktur dan pembangunan bakat, tetapi kepada anjakan paradigma daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi,” tambah beliau.
Malah pelaburan strategik yang sedang dijalankan dijangka mempercepat usaha negeri ini untuk memiliki serta membangunkan IP tersendiri dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, automasi pintar dan AI.
Kerjasama erat antara Sarawak dan UK ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antarabangsa, tetapi turut meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam pembangunan teknologi global, sekali gus memperkasakan ekonomi digital negeri secara mampan. -TVS