KOTA KINABALU, 29 April: Kementerian Perpaduan Negara mengiktiraf segala usaha kerjasama yang dilaksanakan Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) bersama pertubuhan berasaskan agama yang lain serta agensi kerajaan dalam mempromosikan kesejahteraan sosial dan keharmonian agama.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang memaklumkan usaha-usaha berkenaan bertepatan dengan cabaran semasa terutamanya dalam era yang sering berlakunya salah faham, ekstremisme dan penyebaran maklumat salah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Sejak berdekad yang lalu, Majlis Gereja-Gereja Malaysia telah menjadi kompas moral dan penguat perpaduan dalam komuniti Kristian serta masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Sejak penubuhannya, CCM telah memberikan kepimpinan rohani, mempromosikan keadilan sosial dan yang paling signifikan dalam konteks kita hari ini ialah memperjuangkan persefahaman antara agama dan perpaduan negara.
“Majlis Gereja-Gereja Malaysia, yang mewakili sebahagian besar komuniti Kristian, memperlihatkan peranan ini melalui dedikasinya yang tidak berbelah bahagi terhadap dialog dan kerjasama dengan kumpulan-kumpulan agama lain,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tritahunan ke-18 Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) di sini, hari ini.
Katanya, institusi keagamaan telah lama menjadi tonggak masyarakat Malaysia yang menyediakan panduan rohani, moral dan semangat kebersamaaan di samping memainkan peranan yang amat penting dalam memupuk persefahaman dan kerjasama antara pelbagai agama.
“Kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya. Masyarakat kita yang berbilang budaya dan agama adalah satu tenunan yang dibentuk daripada pelbagai tradisi, kepercayaan, dan amalan.
Kepelbagaian ini bukan sekadar aspirasi, ia adalah satu keperluan untuk perpaduan dan kemajuan negara.
“Konsep “Keharmonian dalam Kepelbagaian” adalah teras kepada visi kerajaan dalam mewujudkan Malaysia Madani yang bersatu padu.
“Visi ini menekankan kepentingan persefahaman, hormat-menghormati dan penerimaan dalam kalangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama atau budaya,” ujarnya.
Melalui prinsip-prinsip ini, Malaysia dapat membina sebuah masyarakat yakni perbezaan diraikan dan persamaan dihargai.
Dalam pada itu, jelasnya Harmoni Madani merupakan tunjang utama dalam visi yang mencerminkan hala tuju strategik Kementerian Perpaduan Negara dalam memupuk keharmonian yang mendalam dan bermakna antara rakyat yang berbeza agama, etnik, dan budaya.
“Ia bukan sekadar slogan, ia adalah satu rangka tindakan. Antara program yang telah dijalankan termasuklah Dialog Harmoni, Jejak Harmoni, Dokumentari Harmoni, acara antara agama dan banyak lagi,” ujarnya.
Dialog antara agama adalah alat penting dalam merapatkan jurang dan memupuk budaya keamanan. Ia menyediakan platform untuk individu daripada pelbagai agama berkumpul, berkongsi pandangan, dan bekerjasama ke arah matlamat bersama.
“Dialog seperti ini membantu menghapuskan salah faham, mengurangkan prasangka, dan membina kepercayaan antara komuniti,” tambahnya.
Tegasnya, rumah-rumah ibadat telah menjadi tempat perlindungan untuk mereka yang memerlukan, bertindak sebagai pusat pendidikan, dan sumber kekuatan moral serta berperanan dalam pembangunan komuniti, memberikan bantuan bencana, sokongan kesihatan mental, dan pemuliharaan alam sekitar.
Menurut Aaron, pemimpin agama mesti terus menjadi suara yang melontarkan pandangan yang waras, keamanan dan menjelaskan segala kekeliruan.
“Apabila kita berhadapan dengan cabaran-cabaran baru abad ke-21 seperti maklumat palsu digital, politik identiti dan relativisme moral, suara agama tidak boleh didiamkan, tetapi perlu dibimbing dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan keadilan,” katanya.-TVS