GEORGE TOWN, 29 April: Kementerian Digital berusaha menangani risiko ancaman siber terutamanya membabitkan ‘scammer’ dalam memastikan keselamatan maklumat peribadi pengguna sentiasa terpelihara, seiring perkembangan pesat teknologi.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya memberi jaminan untuk melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan platform-platform digital yang dibina membabitkan perkongsian data adalah selamat digunakan semua pihak.
“Dengan teknologi baharu, risiko-risiko baharu (pasti) akan muncul.
“Kita kena lihat bagaimana boleh laksanakan atau ambil tindakan untuk mengatasi masalah-masalah tersebut, misalnya ‘scam’ banyak inisiatif yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas hadir Majlis Hari Terbuka Malaysia Digital 2025 dan Perasmian Pejabat Kementerian Digital Wilayah Utara di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dan Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh.
Gobind Singh menambah, pengguna tidak seharusnya gusar apabila wujudnya pelbagai struktur perundangan di negara ini dalam berdepan cabaran baharu dunia digital.
Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, Malaysia Digital telah memiliki 3,891 syarikat aktif ketika ini termasuk 254 di wilayah Utara.
“Manakala, dalam tempoh Januari hingga pertengahan April 2025, syarikat-syarikat Malaysia Digital yang baharu diluluskan telah komited melabur sebanyak RM16.2 bilion dan menawarkan 6,480 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
“Keyakinan pelabur terhadap Malaysia juga kekal kukuh apabila lima sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) adalah dari Belanda, Singapura, Hong Kong, India dan United Kingdom yang mencerminkan kekuatan infrastruktur dan dasar mesra pelabur negara dalam bidang digital,” katanya. – TVS.