KUALA LUMPUR, 29 April: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bantuan segera akan disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak ekoran insiden kebakaran melibatkan blok asrama sekolah itu malam tadi.
Menurutnya, tumpuan kementerian pada waktu ini adalah untuk mengutamakan keselamatan pelajar, guru serta seluruh warga sekolah.
“Saya telah mendapat perkhabaran mengenai musibah kebakaran di SMK Tinggi Setapak.
“Bantuan segera akan disalurkan untuk memastikan kesejahteraan semua yang terlibat terpelihara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam kejadian pada malam Isnin, asrama lelaki yang menempatkan seramai 91 pelajar terbakar sekitar jam 8.45 malam, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Semua pelajar dilaporkan berada di surau dan sedang menunggu untuk solat Isyak semasa kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – TVS