PUTRAJAYA, 29 April: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam usaha menangani isu sosial dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pendekatan menyeluruh itu melibatkan pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin belia pelbagai agama bagi memastikan data dan maklumat bantuan sampai ke peringkat akar umbi.
“Kita nak capai melalui mesyuarat ini adalah penyelarasan statistik supaya isu dan data sampai ke peringkat akar umbi dan semua pertubuhan belia ini tahu mana nak cari bantuan.
“Kita mahu belia yang hadapi masalah sosial tahu (bagaimana) dapatkan rawatan, (serta) cari bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat bersama pemimpin belia pelbagai agama di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Tambah Hannah, kerjasama pelbagai pihak penting bagi membolehkan intervensi yang lebih berkesan dapat dilaksanakan di lapangan.
Menurutnya, KBS kini bekerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda.
Dalam pendekatan baharu yang diperkenalkan, KBS menekankan bahawa belia yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah tidak dilihat sebagai penjenayah, sebaliknya sebagai individu yang memerlukan rawatan dan peluang untuk menjalani pemulihan.
“Sebab itulah sekarang kami bekerjasama dengan AADK.
“KBS menggunakan naratif ‘datang dan dapatkan bantuan’, di mana kami melihat mereka sebagai pesakit, bukan sebagai penjenayah. Inilah pendekatan baharu yang kami ambil,” jelas Hannah.
Beliau memberitahu, KBS turut merancang untuk memperbanyakkan program kesedaran, selain memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan institusi keagamaan bagi memastikan usaha menangani masalah sosial belia dapat dilakukan secara lebih sistematik.
Pada masa sama, Hannah memaklumkan kajian Indeks Belia Malaysia yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) tahun lalu menunjukkan skor 80.13, yang sekali gus menggambarkan bahawa belia Malaysia mempunyai tahap kerohanian yang tinggi,” katanya. -TVS.