MIRI, 29 April: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri telah menjayakan Program Bantuan MyLesen (BLM) yang berlangsung di pekarangan Lapangan Terbang Mulu.
Program dua hari ini melibatkan dua orang pegawai dan empat anggota JPJ Miri, yang komited memberikan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk setempat.
JPJ Sarawsk dalam kenyataan berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah Pemeriksaan Motosikal (LKM tamat tempoh lebih 3 tahun), pembaharuan LKM, pendaftaran serta penerangan aplikasi MyJPJ, dan Ujian Praktikal Kelas B2 Motosikal.
Bagi memudahkan urusan pendaftaran aplikasi MyJPJ, JPJ Miri turut membantu pemohon mendaftar MyDigital ID terlebih dahulu, memandangkan ramai yang masih belum memiliki lesen memandu.
Walaupun liputan internet kurang stabil, kira-kira 30 permohonan berjaya dilengkapkan.
Sebanyak 151 calon telah menjalani Ujian Praktikal Kelas B2 dengan sokongan lima orang petugas dari Akademi Memandu EG.- TVS