MUKAH, 29 April: Pasukan dari Bahagian Betong, Bungin Slingshot Group (BSG) merangkul hadiah-hadiah utama untuk Kaul Mukah Slingshot Challenge 2025, baru-baru ini.
Dalam pertandingan melastik bagi kategori lapan meter, BSG menduduki tiga tempat utama melalui Jamil Roslan di tempat pertama, diikuti oleh Mohamad Ismail Moner tempat kedua dan Drahim Banin berpuas hati di tempat ketiga.
Mohamad Ismail Moner berjaya menebus kekecewaannya untuk mendapat Johan bagi Kategori 10 meter. Tempat kedua pula dimenangi oleh Drahim Banin dan tempat ketiga dirangkul peserta dari Sri Aman, Peter Legak.
Bagi Kategori Sharpshooter Lelaki dimenangi oleh Peter Legak dan Kategori Sharpshooter Wanita pula dimiliki oleh Joniah Abdullah.
Bungin Slingshot Group juga merangkul gelaran Sharpshooter Team.
Peserta tunggal wanita dari Mukah, Yong Hing Ying pula dinobatkan menerima Anugerah Galakan kerana berjaya membidik empat sasaran daripada lima yang disediakan untuk Kategori Sharpshooter Wanita.
Menariknya cabaran yang pertama kali diadakan di bandar Mukah ini disertai oleh peserta-peserta pelbagai kaum dari negeri Kelantan, Perak, Sabah dan dari bahagian-bahagian di Sarawak.
Acara perasmian disempurnakan Ahli Parlimen P213 Mukah merangkap Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri N57 Tellian, Royston Valentine, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip serta Ketua-ketua Kaum daerah Mukah.
Kaul Mukah Slingshot Challenge kali ini telah dianjurkan oleh Kenyalang Slingshot yang turut berkolaborasi bersama Pemuda PBB N58 Balingian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan SABERKAS Cawangan Balingian. – TVS