BINTULU, 29 April: Seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) bomba mengalami kecederaan ringan di bahagian muka semasa menjalankan operasi pemadaman kebakaran longgokan sampah di sebuah bangunan di sini, malam tadi.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Shukri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.17 malam dengan menggerakkan 16 anggota BBP Bintulu ke lokasi kejadian.
“Kebakaran longgokan sampah di dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat satu bangunan telah mengakibatkan kerosakan dianggarkan sebanyak 10 peratus.
“Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh lima orang anggota ERT dengan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki yang dilengkapi satu nozel air dari pili bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota ERT yang cedera telah dihantar ke Hospital Bintulu oleh Unit EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.