Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ridzuan Mohd Ghazali bersama pengamal media Sarawak selepas program latihan teknologi kecerdasan buatan (AI). Foto Muqri Aziz (TVS)

AI bantu wartawan perangi berita palsu

ByMuqri Aziz

KUCHING, 29 April: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Ridzuan Mohd Ghazali berkata, teknologi itu dapat membantu wartawan bersaing dalam era kepantasan maklumat yang kini turut disebarkan oleh netizen.

“Dalam era digital ini, semua agensi media berlumba untuk mengeluarkan berita dengan cepat. AI boleh mempercepatkan proses pencarian bahan dan semakan fakta sekali gus meningkatkan produktiviti.

“Banyak isu tular yang tidak benar tersebar luas. Maka, AI boleh digunakan sebagai alat untuk membantu wartawan menangkis berita palsu dan membentuk masyarakat yang lebih cakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada program latihan teknologi kecerdasan buatan (AI) bertajuk AI for Journalism: Transcription and Smart Tools yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), di sini hari ini.

Menurut Ridzuan, penggunaan AI tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada tenaga kerja manusia sebaliknya perlu dilihat sebagai alat yang mempermudah tugasan dan meningkatkan hasil kerja pengamal media.

“Bila-bila masa AI ini digunakan untuk memastikan fakta itu benar, bahan kajian yang diperoleh tepat dan imej yang dicari menepati konteks, ia amat membantu wartawan dalam menjamin kesahihan laporan mereka,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya terbuka untuk melibatkan golongan bukan wartawan termasuk pempengaruh media sosial dalam latihan AI pada masa akan datang.

“Sekiranya ada pempengaruh yang ingin mempelajari teknologi ini, kami sangat mengalu-alukan. Mereka mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan jika dapat dibimbing untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat, ia adalah satu langkah yang sangat positif,” katanya lagi.

Seramai 30 pengamal media dari Sarawak, termasuk wakil daripada TV Sarawak (TVS), Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, mengikuti kursus dua hari anjuran Pusat Kecemerlangan BERNAMA itu yang bermula semalam (28 April) dan dikendalikan oleh tenaga pengajar Muhammad Hafiz Abdul Majid.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan latihan AI untuk pengamal media yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Kuching tahun lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan