LIMBANG, 28 Apr: Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Bahagian Limbang memandang serius aduan penduduk mengenai aktiviti lumba haram yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Residen Limbang, Unus Tambi berkata, orang ramai melahirkan kebimbangan menerusi media sosial mengenai aktiviti lumba haram.
Menurutnya, masyarakat meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.
“Saya mendengar dan mendapat maklumat aktiviti merempit (lumba haram) daripada media sosial dan saya harap pihak berkuasa dapat membuat rondaan atau tindakan perlu.
“Walaubagaimanapun saya akan menghubungi pihak berkuasa untuk menangani aktiviti tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota- Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Limbang hari ini.
Turut sama ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Unus berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang sudah diarahkan untuk meletakkan papan tanda keselamatan di jalan raya.
“Penambahan papan tanda di jalan sekitar sudah kita bincangkan dalam mesyuarat bulan lepas,” ujarnya.
Menurutnya, ia selaras dengan usaha pihak menambah baik papan tanda keselamatan.-TVS