LAWAS, 28 Apr: Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kampung Meragang, Bypass Merapok di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang membawa lima individu, sebuah Honda City yang dipandu seorang lelaki serta sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dewasa warga Indonesia.
“Penunggang motosikal yang dikenali sebagai Nurdin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Myvi turut mengalami kecederaan di bahu dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba manakala pemandu Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lain-lain mangsa yang berada dalam Perodua Myvi dilaporkan selamat,” ujarnya.
Menurutnya, operasi menyelamat diketuai Mursen Timol itu turut membabitkan kerja mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
“Pasukan turut menjalankan kerja pembersihan (flushing) di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan jalan kembali selamat untuk pengguna lain,” jelasnya.-TVS