KUCHING, 28 Apr: Anak Sarawak Awards kini dikenali sebagai The Borneo Inspires Legacies Award (BILA) bagi memperluaskan skopnya untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan bertaraf global.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan kini sedang bergerak ke arah pembangunan Sarawak agar dapat bersaing di peringkat global.
“Kami ingin Sarawak dikenali di peringkat global. Kami ingin dilihat bukan sekadar sebagai pemain global untuk persidangan, pengurusan tenaga atau dalam sukan.
“Sehubungan itu, kita banyak menganjurkan acara antarabangsa termasuk pada masa akan datang Sukan SEA. Ini merupakan arah tuju kerajaan buat masa sekarang”, katanya kepada pemberita pada sidang media Borneo Inspires Legacy Awards (BILA) 2025, di sini, hari ini.
Selari dengan usaha untuk menjadi pemain global, beliau berkata, Sarawak mencipta sejarah sebagai destinasi pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai modal legasi dalam industri acara perniagaan di Borneo sekali gus memperkukuhkan kedudukannya di peringkat serantau.
Sementara itu, tiga inisiatif transformasi akan dilaksanakan bagi menyokong usaha kerajaan termasuklah AI.LEGACY Intelligent Impact Management System, LEGACY360 dan The Borneo Inspires Legacies Award (BILA).
BILA 2025 yang akan berlangsung pada 3 Oktober nanti mempunyai empat kategori iaitu Conventions Legacy Excellence, Exhibitons Legacy Excellence, Corporate Meetings & Incentives Corporate Social Responsibility and Sarawak Industry dan satu kategori khas untuk kewartawanan.
Penyertaan kini dibuka dan untuk maklumat lanjut boleh layari https://legacy360.businesseventssarawak.com/-TVS