KUCHING, 28 April: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menegaskan bahawa proses permohonan kewarganegaraan adalah percuma.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan permohonan dengan mengenakan bayaran.
“Sebenarnya, seluruh proses ini tidak melibatkan sebarang bayaran dan tidak perlu melalui orang tengah. Anda hanya perlu menyerahkan borang berkaitan ke Jabatan Pendaftaran Negara.
“Pegawai kaunter akan menyemak dokumen yang diperlukan, memastikan dokumen lengkap dan seterusnya menghantar permohonan kepada Jawatankuasa Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk semakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Majlis Penyerahan Bantuan dan Geran anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini, hari ini.
Menjelaskan lagi, permohonan akan diajukan kepada Menteri Dalam Negeri untuk kelulusan.
Dalam perkembangan lain, Fatimah memaklumkan bahawa sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Kenyalang Gold Card (KGC) telah menerima sebanyak 320,591 pendaftaran daripada warga emas di seluruh Sarawak.
Sehingga kini, seramai 1,063 peniaga telah berdaftar sebagai rakan strategik KGC, menawarkan pelbagai kemudahan termasuk diskaun pembelian dan perkhidmatan percuma kepada pemegang kad.