PUTRAJAYA, 28 April: Maldives menyuarakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam transformasi digital khususnya sektor teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan keselamatan siber.
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu berkata pihaknya turut melihat potensi besar dalam mengeratkan hubungan ekonomi dengan Malaysia dalam pelbagai sektor.
“Saya amat menghargai kesediaan Perdana Menteri untuk berkongsi kepakaran Malaysia dengan kami.
“Kami berharap dapat menjalin perkongsian bermakna yang boleh memanfaatkan sektor dinamik ini untuk faedah bersama,” katanya.
Mohamed Muizzu berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar perjanjian persefaham (MoU) yang dipersetujui antara kedua-dua negara dapat disegerakan khususnya dalam bidang pertahanan.
Mohamed Muizzu berkata kedua-dua negara juga sentiasa bertukar idea untuk mempertingkat kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Maldives dan Malaysia.
“Kami menjemput pelabur Malaysia untuk meneroka peluang di Maldives, khususnya di zon ekonomi khas (selain) sektor perniagaan, perkhidmatan kewangan, ekonomi maritim, serta ekonomi digital,” katanya.
Beliau turut memuji kemajuan Malaysia dalam industri halal dan ekonomi digital. – TVS