LUNDU, 28 Apr: Kontraktor penyelamat dijangka mampu menyiapkan projek Jambatan Batang Rambungan lebih awal berbanding jadual ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, berdasarkan perbincangan dengan kontraktor, beliau meminta projek tersebut disiapkan menjelang Julai 2026.
“Kontraktor bersetuju menyiapkan projek mengikut tarikh yang kita minta. Mereka (kontraktor) ini berpengalaman dan mempunyai tenaga kerja yang ramai.
“Semua bahan pembinaan ada di sini dan hanya menunggu kabel sahaja lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau kemajuan projek Jambatan Batang Rambungan hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menjelaskan, setakat ini projek tersebut tujuh peratus mendahului jadual ditetapkan.
“Hari ini kita mengarahkan mereka mengatur kerja supaya jambatan ini siap pada Julai 2026. Saya dan timbalan akan memantau rapi projek ini.
“Kami berharap dan berdoa agar cuaca baik kerana ia (cuaca) boleh mempengaruhi kerja pembinan,” ujarnya.
Jambatan sepanjang 560 meter itu dibina dengan kos lebih RM82 juta.
Untuk rekod, jambatan sepanjang 560 meter ini menelan belanja lebih RM82 juta.
Projek yang bermula pada 17 Disember 2019 itu dijadualkan disiapkan menjelang 16 Disember 2022 bagaimanapun mengalami kelewatan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tenaga kerja dan kaedah pelaksanaan projek selain gagal menyiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Namun projek tersebut diserahkan kepada kontraktor penyelamat yang memulakan kerja pembinaan pada 19 November 2024.
Projek Jambatan Batang Rambungan Lundu merupakan sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris. – TVS