KUCHING, 28 April: Indikator ‘K’ pada kad pengenalan warga Sarawak amat penting kerana antara lainnya banyak inisiatif kerajaan Sarawak kini disasarkan khusus untuk rakyat negeri ini.
Menurut, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, indikator itu adalah khas untuk warga Sarawak dan sangat berharga.
Sehubungan itu, beliau berkata golongan yang telah diberi kelulusan kewarganegaraan tidak secara automatik diberi indikator ‘K’ pada kad pengenalan.
“Di bawah Perkara 15A (Perlembagaan Persekutuan), selepas diberikan kewarganegaraan Malaysia, mereka perlu memohon pula untuk mendapatkan indikator ‘K’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri serta Penyerahan Bantuan dan Geran anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini, hari ini.
Jelas Fatimah lagi, antara syarat utama untuk memohon indikator ‘K’ berdasarkan Arahan JPN Bil. 14/2017 adalah individu pernah memegang Kad Pengenalan Plastik Sarawak.
Indikator itu juga boleh diberikan kepada anak yang dilahirkan di mana-mana wilayah malaysia layak diberikan indikator ‘K’ sekiranya salah seorang ibu atau bapa memiliki indikator tersebut.