Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Harga eksport Malaysia pada Mac 2025 naik 1.2 peratus daripada 151.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 151.8 mata. Foto fail Faitullah Morni (TVS)

Harga eksport Malaysia naik 1.2 peratus

ByWilly Jali

PUTRAJAYA, 28 Apr: Harga eksport Malaysia pada Mac 2025 naik 1.2 peratus daripada 151.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 151.8 mata.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan bagaimanapun menyatakan, indeks nilai seunit import mencatatkan penurunan 0.9 peratus daripada 128.1 mata kepada 127.0 mata.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport meningkat 0.2 peratus pada Mac 2025 berbanding bulan sebelumnya disumbangkan peningkatan indeks makanan (+1.1 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.9 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8 peratus).

“Indeks volum eksport naik 15.9 peratus selaras dengan kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+28.8 peratus), barang-barang keluaran kilang (+15.2 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.1 peratus). Indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 1.0 peratus daripada 162.8 mata kepada 161.2 mata.

“Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 1.3 peratus dan 5.4 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurutnya, indeks nilai seunit import menyusut 0.9 peratus pada Mac 2025, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-2.7 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus) dan bahan kimia (-0.4 peratus).

“Namun begitu, indeks volum import bertambah 7.6 peratus pada Mac 2025 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks bahan kimia (+17.0 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+10.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+8.6 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim merosot 7.3 peratus daripada 208.7 mata kepada 193.4 mata. Perbandingan tahun ke indeks nilai seunit import dan indeks volum masing-masing berkurang 2.4 peratus dan 0.5 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, terma perdagangan Malaysia naik 1.2 peratus bulan ke bulan kepada 119.5 mata pada Mac 2025, sebagaimana dipaparkan oleh laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri.

“Terma Perdagangan Malaysia berkembang 1.2 peratus bulan ke bulan kepada 119.5 mata pada Mac 2025, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+2.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.3 peratus) dan makanan (+1.0 peratus). Sementara itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 3.8 peratus daripada 115.2 mata pada Mac tahun lalu,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan