SIBU, 27 Apr: Enam daripada 10 unit berek Pasukan Gerakan Am (PGA) yang tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran di Lanang malam tadi.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.58 malam.
“Setibanya di lokasi kira-kira lapan minit kemudian, kami mendapati kebakaran melibatkan satu blok berek tidak kekal yang mempunyai 10 unit.
“Enam unit terbakar manakala empat lagi berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, setiap unit yang terjejas berkeluasan sekitar 20 x 30 kaki persegi.
Tambahnya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan BBP Sungai Merah digerakkan ke lokasi dengan kekuatan dua jentera FRT, satu EMRS dan sebuah Hilux.
“Operasi pemadaman dilakukan secara ofensif dan defensif menggunakan beberapa aliran salur bantu mula dengan sumber air diambil dari jentera. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.39 malam,” ujarnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-TVS