BINTULU, 28 April: Menghabiskan hidup selama 15 tahun di balik tirai besi, bekas banduan Pusat Koreksional Bintulu meluahkan rasa syukur dan berjanji kepada dirinya untuk menjadi lebih baik.
Dimasukkan ke penjara pada usia 20-an untuk kes kesalahan dadah, dirinya mengaku darah muda pada ketika itu membuatkannya terpengaruh dan terjerumus dalam kancah dadah.
Bercerita kepada TVS, Ubai (bukan nama sebenar) berkata dia dijatuhkan hukuman pada 30 Mei 2011 oleh Mahkamah Sesyen Kuching di bawah Seksyen 6B (1)(a) iaitu hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun beserta 12 sebatan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) dengan hukuman penjara 12 bulan.
Pada ketika itu, Ubai yang juga sedang menganggur terpengaruh dengan rakan-rakannya.
“Saya masuk penjara dari tahun 2010 untuk kes kesalahan dadah, menanam dan memiliki ganja. Terjebak dah kira lama sebenarnya dari zaman remaja.
“Terpengaruh ikut kawan-kawan. Selepas itu saya cuba macam-macam sampailah menanam ganja,” katanya menerusi temubual eksklusif dengan TVS hari ini.
Rasa menyesal dalam dirinya begitu menebal namun Ubai sedar 15 tahun hidupnya yang dihabiskan di dalam penjara tidak dapat dikembalikan.
Enggan mengenang kisah lalu, Ubai menanam tekad untuk menggunakan sebaiknya ilmu yang diperoleh ketika di penjara.
Ubai tidak kosong, berbekalkan kemahiran yang ada Ubai bercita-cita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang jahitan.
“Banyak aktiviti sebenarnya seperti menjahit pakaian seragam, baju melayu, baju kurung, malah mendapat tempahan untuk menjahit jubah konvokesyen beserta topi. Insya-Allah saya akan cuba menjahit,” ujarnya lagi.
Ubai turut meluahkan rasa syukur kerana memiliki ahli keluarga yang sentiasa menerimanya dan mendorong ke arah kebaikan.
Pembebasan Ubai pada hari ini didakap erat oleh susuk tubuh tua seorang ibu di luar pintu penjara.
Katanya, sokongan daripada ahli keluarga adalah perkara yang sangat diperlukan oleh golongan sepertinya.
Menginjak usia 44 tahun, Ubai sempat berpesan kepada anak muda di luar sana jangan sesekali terlibat dengan najis dadah.
“Untuk yang generasi baru yang hidup di dunia serba canggih, semua di hujung jari, cabaran semakin besar. Pengaruh media sosial.
“Saya harap mereka di luar sana tidak terpengaruh dengan dadah. Tengoklah apa yang jadi kepada saya. Penyesalan memang ada,” luah Ubai.
Ubai dibebaskan dari Pusat Koreksional Bintulu setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.