KUALA LUMPUR, 28 April: Biasiswa yang ditawarkan Yayasan UEM bukan sekadar bantuan kewangan malah menjadi platform membentuk jati diri graduan menjadi pemimpin masa hadapan.
Yayasan UEM juga telah melahirkan ramai individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menjadi peneraju industri, seperti kisah dua alumni yang telah membuktikan kejayaan mereka, Hari Prahlad Puvanasvaran dan Hafizuddin Hassim.
Hari Prahlad graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nottingham berkata, kecemerlangan bukan diukur menerusi aspek akademik semata – mata namun juga dalam aspek membina jati diri.
“Perkara paling utama yang saya peroleh daripada program pembangunan diri ini adalah kemahiran berurusan dengan pihak berkepentingan terutama sekali golongan atasan. Dalam program tersebut kami berpeluang untuk bertukar idea dan pendapat walaupun berbeza latar belakang.
“Saya percaya program ini sangat membantu saya dalam membina keyakinan diri sebagai seorang yang lebih fleksibel,” jelasnya kepada TVS menerusi temu bual khas di sini hari ini.
Hari Prahlad turut berkongsi pengalamannya menjalani latihan industri bersama UEM Group dalam projek pembinaan Merdeka 118 yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya diberi tanggungjawab untukmemastikan pembinaan tingkat 116 hingga 118 mengikut jadual yang ditetapkan.
“Penglibatan dalam projek mega ini merupakan pengalaman yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, Hafizuddin yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of Southampton berpendapat biasiswa Yayasan UEM bukan sahaja meliputi bantuan kewangan malah fokus kepada pembangunan diri serta bimbingan kerjaya.
“Selain daripada aspek pembelajaran, kami turut berpeluang untuk mengikuti pelbagai program-program menarik seperti‘team building’, aktiviti lasak dan program persediaan alam pekerjaan.
“Program ini banyak membimbing kami dalam menguasai kemahiran insaniah, membina daya tahan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas tamat pengajian,” katanya.
Kisah kedua-dua alumni ini membuktikan bahawa biasiswa Yayasan UEM bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan tetapi juga melahirkan graduan yang berkepimpinan dan berdaya saing dalam industri. – TVS.