BINTULU, 28 Apr: Hari terakhir Syawal membawa keceriaan kepada seorang banduan lelaki yang berusia 44 tahun selepas dibebaskan dari Pusat Koreksional Bintulu hari ini selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, ini merupakan pengampunan pertama tahun 2025 dan banduan tersebut dibebaskan awal dari tarikh hukuman sebenar iaitu penjara seumur hidup selama 30 tahun di bawah Seksyen 6B (1)(a).
“Hari ini merupakan detik bersejarah bagi Sarawak yang mana Lembaga Pengampunan Negeri sentiasa prihatin terhadap prospek yang berada di dalam penjara dan berdepan hukuman lama.
“Jabatan Penjara mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kerana mempertimbangkan rayuan untuk membebaskan prospek yang melakukan kesalahan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS pada upacara pembebasan banduan yang mendapat pengampunan Yang di-Pertua Negeri Sarawak tahun 2025 di Pusat Koreksional Bintulu hari ini.
Menurutnya, banduan tersebut sudah menjalani hukuman selama 15 tahun atas kesalahan memiliki dan menanam ganja.
Tambahnya, pengampunan tersebut diperoleh selepas beberapa kali rayuan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selain tiga kali penyerahan Penyata Empat Tahun kepada Lembaga Pengampunan Negeri.
Pengampunan tersebut selaras dengan peruntukan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (Akta Penjara 1995) yang bertujuan memberi peluang kedua kepada banduan dan menjadikannya insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.-TVS